Monday, August 23, 2010

Mercun milik bapa mangsa?

KUALA TERENGGANU 23 Ogos – Polis kini menyiasat kemungkinan bapa Khairil Arif, budak lelaki berusia enam tahun yang maut dalam kejadian letupan sebuah rumah dijadikan stor simpanan mercun dan bunga api di Kampung Seberang Baruh, Chabang Tiga di sini semalam, ialah pemilik bahan letupan tersebut.
Siasatan polis di rumah lama tersebut menemui sebanyak 15 kotak besar mercun yang disimpan di bahagian dapurnya, antaranya Artillery, Ascorted, Cork Electrical dan Whistling Tail.
Bapa Khairil Arif, seorang peniaga berusia 28 tahun yang menghilangkan diri sejak kejadian itu akhirnya pergi ke rumah lama tersebut pada pukul 12.55 tengah hari ini dan menyerah diri kepada pihak polis.
Peniaga itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, bagi menguruskan jenazah anaknya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam Lama di Cabang Tiga, petang ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan pada sidang akhbar di sini hari ini berkata, bapa mangsa merupakan individu yang dikehendaki di dalam kes tersebut.
Beliau turut menunjukkan sisa mercun yang ditemui dalam kejadian letupan tersebut.
“Lelaki tersebut ditahan di lokap IPD Kuala Terengganu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Sejak kejadian, polis mencarinya bagi membantu siasatan kes tersebut selain untuk menguruskan jenazah anaknya (Kharil Arif) di hospital,” katanya.
Turut hadir Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Supritendan K. Manoharan dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin.
Mohd. Shukri berkata, dua lagi yang cedera dalam kejadian letupan itu ialah Mohd. Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29. Kedua-duanya dipercayai rakan kepada lelaki berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati Mohd. Asrizan menetap di Kampung Seberang Baruh di sini manakala Mazlan pula di Bukit Payong, Marang.
Dalam kejadian itu, Khairil Arif terbunuh setelah rumah lama yang dipercayai dijadikan stor menyimpan mercun dan bunga api tersebut meletup.
Khairil Arif melambung sejauh kira-kira 15 meter dan mayatnya ditemui tersangkut di dahan pokok berhampiran rumah itu.
Mohd. Shukri memberitahu, bapa mangsa pergi ke tempat kejadian dan menyerah diri hasil kerjasama pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkenaan.
Polis sehubungan itu meminta kerjasama isterinya yang juga ibu Khairil Arif agar tampil membantu siasatan.
Mengenai keadaan Mohd. Asrizan dan Mazlan yang masih dirawat di HSNZ, beliau menambah, mereka kini stabil walaupun Mazlan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

No comments:

Post a Comment