Monday, August 23, 2010

Masa untuk berhenti merokok

JIKA bagi wanita, kedatangan bulan puasa masa paling baik untuk mula berdiet, berbeza pula lelaki yang lebih kepada untuk berhenti merokok.
Tapi untuk menghilangkan tabiat merokok bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi jika rokok sudah menjadi teman sejati sejak sekian lama.
Menurut Dr. Azrul Rozaiman Abdullah dari Hospital Pakar An-Nur Hasanah, Bangi, Selangor, perokok terbahagi kepada beberapa kategori dan ini ditentukan menerusi satu ujian yang dinamakan Fagerstrom test for Nicotine Dependence.
"Secara umumnya, ketagihan ada empat kategori iaitu rendah, rendah hingga sederhana, sederhana dan ketagihan tinggi.
"Dari senarai yang diberikan di atas, golongan perokok yang paling sukar membuang tabiat merokok ialah yang ketagihan tinggi," jelasnya ketika sesi ceramah sempena seminar Sakit Bukan Halangan Meraih Takwa.
Seminar tersebut anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) dengan kerja sama Hospital Pakar An-Nur (HPAN), Bangi, baru-baru ini.
Dr. Azrul Rozaiman juga memberitahu pendapat yang mengatakan perokok wanita lebih berisiko mendapat penyakit kronik berbanding lelaki tidak benar kerana semuanya bergantung kepada dos bahan-bahan kimia yang disedut ke dalam tubuh.
"Selain itu faktor mudahnya penyakit terjadi akibat merokok juga bergantung kepada kekuatan tubuh individu itu sendiri. Individu yang mempunyai sistem imunisasi yang kuat, sihat dan tanpa penyakit kronik lain.
"Ada perokok yang memberitahu bahawa apabila mereka berhenti merokok mereka akan menjadi tidak sihat. Ini berlaku kerana ketagihan rokok tegar menyebabkan mereka secara fizikal dan psikologikal terpaksa bergantung dengan aktiviti merokok untuk mengekalkan paras nikotin dalam badan. Dengan itu mereka dapat kekal 'rasa seronok' dan akan rasa sebaliknya jika tidak mengambil rokok," ujarnya.

Makanan rapu punca obes

KAJIAN yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai lebihan berat badan.
Manakala 700 juta daripadanya akan mengalami masalah kegemukan yang berlebihan atau obesiti.
Namun lebih membimbangkan, kajian juga membuktikan, masalah obesiti di kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di negara-negara membangun.
Di Malaysia, sehingga tahun lalu, peningkatan kes obesiti yang direkodkan di kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.
Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan dikatakan berisiko mendapat obesiti dan ini akan menjurus kepada beberapa masalah kesihatan kronik antaranya kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan serta kanser.
Apakah faktor yang menyumbang kepada masalah besar ini di kalangan kanak-kanak?
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, faktor utama penyumbang masalah obesiti kanak-kanak adalah pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau kurang.
Katanya, kanak-kanak sememangnya gemarkan makanan rapu (junk food) terutama keropok, jeruk dan coklat kerana mereka terpengaruh dengan rasa, pembungkusan dan promosi iklan atau jualannya yang dilakukan pengeluar dan penjual.
Noor Rezan berkata, ketika beliau bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di ibu negara beberapa tahun lalu, beliau melarang keras penjualan makanan ringan di kantin dan pelajar tidak dibenarkan membawanya ke dalam kawasan sekolah.
Bagaimanapun, ujarnya, apabila mereka keluar daripada pagar sekolah, mereka masih dapat membelinya kerana ia dijual secara berleluasa di luar.
"Makanan ringan adalah sejenis makanan yang secara jelas tidak mempunyai nutrisi dan mengandungi banyak perisa tambahan yang menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami obesiti.
"Pulang ke rumah, ada ibu bapa terutama yang sibuk bekerja akan menyediakan pula makanan segera atau memasak makanan mengandungi gula dan lemak tinggi tetapi rendah vitamin, mineral serta nutrisi penting untuk perkembangan tubuh dan minda anak.
"Saya nasihatkan ibu bapa sentiasa bertanya kepada anak apa yang mereka makan di sekolah, pantau pemakanan anak, sediakan menu berkhasiat, amalkan diet sepatutnya dan paling penting jangan tanya apa yang anak ingin makan tetapi anda yang menentukannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesihatan Kanak-Kanak Malaysia di The Royal Bintang, Damansara, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf dan Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), Dr. Tee E Siong.
Menurut Zainun Nur, program itu dilancarkan sebagai satu usaha bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kanak-kanak sekolah rendah berusia antara 7 hingga 12 tahun.
Kempen tersebut membabitkan aktiviti seperti kesedaran nutrisi, aktiviti fizikal dan perbincangan, kelas panduan bagaimana meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan nutrisi selain ditunjukkan demonstrasi penyediaan masakan berkhasiat oleh Chef Florence Tan.
"Pada pelancaran hari ini, kami turut mengadakan bengkel eksperimen iaitu percubaan untuk melihat sejauh mana beberapa ibu bapa dan pelajar yang menyertainya dapat berbincang serta bertukar-tukar pendapat mengenai pemakaran dan gaya hidup anak mereka.
"Kejayaan bengkel hari ini akan menguatkan usaha kami atau membantu kami memperkemaskan aktiviti sebelum melebarkannya ke sekolah seluruh negara.
"Program ini pertama kali diadakan di Malaysia tetapi ia sudah dijalankan di beberapa buah negara seperti Argentina, China, Thaiwan, Korea, Singapura, Pakistan, Filipina, India, Mauritius, Jerman, Malta dan Belanda," ujarnya.

Urat Simpul hodoh dan sakit

PERNAHKAH anda melihat wanita yang memiliki urat-urat timbul di bahagian kaki yang kadangkala kelihatan bersimpul-simpul dan berwarna biru? Atau mungkin anda sendiri mengalaminya namun sehingga kini tidak tahu rawatan sesuai yang mampu menangani masalah itu?
Jika anda penderita masalah urat simpul, setuju andai dikatakan urat-urat itu sangat merunsingkan fikiran anda sekali pun kaki bagi sesetengah daripada kita merupakan bahagian yang sering ditutup. Dan sekali pun ada sesetengah penghidap tidak berasa sakit, urat simpul tetap dianggap beban kerana ia melibatkan masalah kosmetik kekal pada individu terbabit yang semestinya tidak boleh dirawat dengan cara biasa.
Pakar Bedah Am dan Vaskular, Dr. Tan Kong Hean berkata, urat simpul atau vena varikos berlaku apabila vena (salur darah yang membawa balik darah kurang beroksigen dari bahagian badan yang lain ke jantung dan paru-paru) menjadi tebal dan membesar. Disebabkan pembesaran tersebut, ia kelihatan membiru atau ungu serta berpintal dan akan terkeluar sedikit dari bahagian kulit seakan menggelembung.
Memudahkan pemahaman, vena mempunyai pintu injap kecil untuk mengelak darah daripada mengalir secara terbalik. Otot kaki akan mengepam vena untuk menghantar darah ke jantung, melawan kesan graviti. Apabila vena menjadi varikos, pintu injap tidak lagi berfungsi dengan betul dan injap tidak berkerja.
“Ini menyebabkan darah bergerak pada arah yang songsang dan vena membesar lebih daripada biasa.
Vena varikos biasa berlaku pada vena bahagian kaki disebabkan tekanan ketika berdiri. Terdapat juga di bahagian lain seperti vagina namun ia jarang berlaku,” kata doktor pakar dari Pusat Perubatan Prince Court itu.
Menurut beliau, urat simpul adalah masalah yang sering dialami oleh golongan wanita tetapi lelaki juga tidak terkecuali.
Katanya, sebanyak 20 peratus wanita mempunyai vena varikos dan 50 peratus daripadanya disebabkan keturunan dan mengandung.
“Ia mula berlaku ketika mereka berumur antara 20 dan 30 tahun atau selepas mengandung. Terdapat juga individu yang mengalami vena varikos sejak dari usia belasan tahun lagi,” katanya.
Menurut beliau, ketika mengandung, pertambahan hormon progestron menjadikan vena berkeadaan lega (injap terbuka) mengundang masalah vena varikos selain pembesaran uterus secara semula jadi menekan vena.. Beliau juga bersetuju pengambilan pil cegah hamil (mengandungi testosteron) memburukkan lagi masalah urat simpul.
Kata beliau lagi, lelaki tidak terkecuali mengalami masalah urat simpul iaitu 10 peratus yang mengalaminya disebabkan keturunan.
Selain itu, beliau berkata, mereka yang berdiri terlalu lama (pekerjaan yang memerlukan berbuat demikian seperti jururawat, pelayan restoran, guru dan sebagainya) serta mereka yang mengalami obesiti juga terdedah menderita urat simpul akibat kaki terpaksa menampung berat badan yang berlebihan.
Dr. Tan menjelaska n mereka yang mengalami masalah urat simpul akan berasa sakit dan tidak selesa di bahagian kaki dan tidak boleh berjalan jauh. Pesakit katanya berkemungkinan mengalami kekajangan pada waktu malam dan lebih teruk lagi, ada juga pesakit yang mengalami gatal-gatal pada kulit. Disebabkan masalah tersebut, pesakit akan mula menggaru hingga terjadi ulser, dermatitis dan ekzema.
Pesakit urat simpul juga katanya, akan terasa seperti urat mereka akan pecah sekiranya berdiri terlalu lama.
“Namun ramai juga yang tiada simptom tapi keadaan urat yang bersimpul sangat ketara,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut Dr. Tan berkata, terdapat peringkat berbeza bagi masalah urat simpul.